Saturday, November 10, 2012

BERJUANG DAN BERSYUKUR??

     Betapa ribuan kesyukuran ku ucapkan ke hadrat ilahi kerana dengan kasih sayang dan sihat pemurahnya dapat lagi aku menggerakkan walau jariku untuk kembali menyinngkap dan menilai diri yang lemah ini.....sungguh penulisan ini bukanlah aku coretkan semata-mata untuk dibaca oleh insan lain melainkan diriku, dan tidaklah aku mengharap agar ribuan pembaca tertarik dengan coretanku melainkan untuk aku bermuhasabah diri sendiri sebagai manusia yang sering lalai dari mengingati dan melawan hawa nafsunya.

     Terngiang aku kepada Kalam Sang Pencipta yang sungguh indah, didalam surah al-nisa

Tidaklah sama antara mu'min yang duduk (yang tidak turut berperang) yang tidak mempunyai uzur dengan orang-orang yang berjihad di jalan Allah dengan harta mereka dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjihad dengan harta dan jiwanya atas orang-orang yang duduk satu derajat. Kepada masing-masing mereka Allah menjanjikan pahala yang baik (surga) dan Allah melebihkan orang-orang yang berjihad atas orang yang duduk dengan pahala yang besar,  
(  سورة النساء  , An-Nisa, Chapter #4, Verse #95)

      ,ya benar sesungguhnya Allah itu maha mengetahui, meletakkan manusia yang tabah berjihad lebih tinggi darjatnya daripada yang hanya duduk bersenang-senang.

     Malah lebih indah lagi apabila Sang Pencipta menjadikan insan-insan yang terpilih untuk berjuang pada jalannya itu merasai pula kenikmatan dalam perjuangannya. dan 'jihad' itu membuahkan rasa ketenangan dan kepuasan yang tidak terhingga dalam dirinya. Inilah nikmat yang sejati yang tidak semua daripada manusia mampu merasainya.

     Namun begitu ramai ku lihat diluar sana, begitu berhempas pulas demi mendapat kekayaan, kesenangan dan kesempurnaan, dan kepuasan namun tetap juga berada dalam kekosaongan dan kesedihan, berusaha mengejar dan mencari-cari apa yang dambakan sedari kecil sehinggalah mereka tua, dan akhirnya masih terus kejar dan mengejar dambaran itu sehinggalah maut mendatangi mereka sedangkan tiada sedikit masa dalam hidup mereka merasai dambaran itu.

     Mengapa pula sedemikian sedangkan mereka berusaha berjihad dan berusaha?

     Kerana bukanlah kuantiti itu menjadi pengukur kepuasan diri,  kepuasan dan ketenangan yang datangnya dari nilaian pada mata manusia, tetapi ia adalah kurniaan Sang Pencipta kepada mereka yang benar-benar ikhlas(mempunyai niat yang luhur), dan bersyukur.

     Mereka yang mendambakan itu bukanlah kekurangan tetapi hati mereka yang kurang menilai dan benar-benar mensyukuri kekayaan dan kemewahan yang telah Allah hadiahkan di sekeliiling mereka..daripada sebesar-besar nikmat kesihatan dan kecukupan dari makan dan minum sehinggalah kasih sayang seorang ibu dan bapa kepada mereka.

     Mungkin juga perbuatan tersebut indah dan mulia pada pandangan manusia tetapi telah dicemari oleh niat yang bercampur gaul antara hak dan batil, kerana kisah Nabi Khidir menjadi bukti bahawa perilaku zahir bukan pengukur peribadi seseorang kendatipun pada dasarnya iman itu memberi buah kepada kelakuan dan personaliti.

     Sengaja aku timbulkan persoalan perjuangan 'jihad' dan kesyukuran dan 'qanaah' kerana sering saja manusia itu terlalu taksub sama ada menjadi terlalu berjuang dan ada pula yang terlalu qanaah, supaya kita sedar bahawa sesungguhnya sebaik-baik pekerjaan itu adalah bersederhana.

     Ada manusia yang terlalu bersyukur dan menerima dengan rela terhadap segala ketentuan Sang Pencipta sehingga lupa untuk berusaha dan berikhtiar menjalani kehidupan. dan ada pula yang tidak henti-henti berhempas pulas dan berjuang namun lupa untuk berhenti sejenak dan mensyukuri segala pemberian dari Sang Rabbi.

     Sesungguhnya islam itu terbina atas dasar yang cukup indah, bilamana setiap pekerjaan itu disarankan dilakukan dengan sebaik-baiknya, dan setelah berusaha, bertawakallah kepada Allah dengan penuh kepercayaan dan penyerahan kepada-Nya, betapa lengkapnya syariatnya sehinggakan setiap satu melengkapi yang lain, kerana Sang Pencipta tahu bahawa sifat manusia itu sering tamak dan inginkan kemewahan, diberikan pahala kepada sesiapa yang berusaha mencari nafkah untuk keluarganya, memberi lindungan arasy kepada pemimpin yang adil dan memuji mereka yang melakukan setiap perbuatan dengan sempurna,

     Namun Allah mengeji mereka yang angkuh dan kufur kepada nikmatnya semata-mata untuk melengkapkan segala kekurangan yang timbul daripada kemewahan tersebut. supaya umatnya yang terpilih dari yang lain, dapat mencapai sebenar-benar erti kemewahan pada hati dan juga jasad. sehingga keimnan diri terus bercambah subur dan mekar, dan memancarkan dan melindungi tumbuhan kecil yang lain yang masih renek dan cuba merangkak melalui jalan-jalan yang susah untuk menjadi tumbuhan yang subur pada suatu masa dan meneduhi tumbuhan kecil yang lain pula.

     Begitulah kehebatan mukjizat panduan wahyu yang telah dirincikan oleh Sang Pencipta sejak beribu tahun yang lalu ketika mulanya penurunan al-quran, sedangkan pada masa kita, para saintis dan pakar motivasi begitu bersungguh-sungguh mula mengkaji tentang perihal motivasi dan jiwa manusia ini.

     Ya Allah, engkau kurniakanlah aku jalan yang lurus dengannya aku dapat menjalani hidup mengikut jalan-jalan kehidupan orang yang telah engkau berikan hidayah semasa hayatnya sehingga aku dapat pula bertemu dan bersama-sama mereka di sana nanti..

   

No comments:

Post a Comment